Di dalam novel
klasik David Copperfield karya Charles Dickin yang berhalaman 881 muka surat
ini dan mempunyai 64 bab ini aku mengambil masa yang cukup lama untuk menghabiskan novel ini kerana bahasa Inggerisnya
yang klasik menyukarkanku untuk memahami isi kandungan novel ini. Namun, akhirnya aku berjaya juga menghabiskan novel ini walaupun tidak seratus
peratus isi kandungannya aku fahami. Teknik penceritaan di dalam novel ini telah
menggunakan sudut pandangan orang pertama dimana watak utama dalam novel ini
sendiri yang menceritakan kisah hidupnya. David copperfield merupakan hero dalam cerita
ini yang turut berperanan sebagai pencerita yang meggerakkan keseluruhan isi
cerita novel ini. Pembaca turut dibawa mengembara
bersama-sama David menyaksikan kisah suka duka hidupnya dari zaman beliau dilahirkan
sehinggalah menjadi seorang lelaki yang berjaya dan bahagia dalam hidupnya.
Pada
pendapat aku novel ini mempunyai sisi manisnya yang tersendiri yang kadang-kadang
turut membawa pembaca terbuai-buai dengan watak utama dan sampingan dalam cerita
ini yang mempunyai pelbagai ragam yang tersendiri. Hadirnya pelbagai watak dalam
novel ini kadang-kadang membuatkan aku terkeliru. Hal ini menyebabkan aku hanya mengingati watak-watak
penting yang mempunyai hubungan yang
rapat dengan David seperti Mrs Clara, Pegotty, Miss Betsey, Agnes, Mr Pegotty,
Ham, James Streefoth, Tommy Traddles, Uriah Heep, Mr Wickfield, Dora , Mr Dick,Mr
Murdstone dan Dr Strong. Sesungguhnya
watak-watak penting inilah yang mewarnai perjalanan cerita di dalam novel ini. Aku begitu mengkagumi semangat
juang watak utama dalam novel ini David yang tabah mengharungi dugaan demi dugaan
yang silih berganti dalam hidupnya. Kita
dapat menyelami perasaan anak yatim piatu seperti David yang bergelut mencari
bahagia sebelum akhirnya menemui titik kebahagiaan dalam hidupnya di penghujung
novel ini. Aku juga tersentuh dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Miss Betsey dan Pegotty terhadap David. Tidak keterlaluan jika aku katakan merekalah peransang utama disebalik
kejayaan David. Miss Betsey pada mulanya
tidak dapat menerima hakikat kelahiran David apabila mengetahui Mrs Clara, ibu
kepada David melahirkan bayi lelaki dan
bukannya bayi perempuan seperti yang didambakannya. Namun kehadiran David ke
rumahnya pada satu hari yang berjaya menjejakinya telah membuka satu cerita baru
yang bermakna dalam kehidupan mereka. Miss
Betsey satu-satunya saudara terdekat David yang masih hidup dan sanggup
menerima David setelah pada saat kelahiran David telah menafikan kewujudan David dalam
hidupnya. Namum Miss Betsey belajar dari kesilapan dan ingin menebus
kesilapannya yang mengabaikan David selama ini dengan menjaga David kembali dan
membiayai persekolahan David. Begitu juga dengan kasih sayang luhur yang ditunjukkan
oleh bekas pembantu keluarga David,
Pegotty yang setia terhadap David walaupun
sudah tidak berkerja dengan keluarga David lagi. Dia sangat menyayangi David
dan banyak memberikan semangat dan kasih sayang kepada David lebih-lebih lagi
dia telah menjaga David sejak David dilahirkan lagi.
Aku juga tertarik dengan tiga watak penting dalam novel ini yang menjadi penyeri
kepada kisah cinta David iaitu kemunculan watak seperti Emily, Dora dan Agnes
yang telah membawa warna-warna ceria dalam hidup seorang David Copperfied.
Emily merupakan cinta zaman kanak-kanak David dimana dia mula menyukai Emily
ketika dia masih kanak-kanak sewaktu mengikut Pegotty balik ke kampung halamannya
di Yarmouth. Emily ketika waktu kecilnya digambarkan sebagai seorang kanak-kanak
yang cantik, pemalu , baik hati dan tabah dalam caranya yang tersendiri. Namun
seiring dengan perubahan masa, perasaan David kepada Emily juga mula berubah
dan ianya hanyalah sekadar secebis
kenangan zaman kanak-kanaknya. Emily kemudiannya apabila dewasa telah bertunang
dengan abang angkatnya sendiri Ham Pegotty. Namun kehadiran sahabat baik David,
James Steerfoth ke kampung Emily bersama David pada suatu hari telah membuatkan
hati Emily terpaut pada Steerfoth dan sanggup meninggalkan Ham dan ayah angkatnya
Mr Pegotty dengan lari bersama Sterfeoth ke luar negara sedangkan Steerfoth hanya mempermain-mainkan
Emily. Peristiwa ini menyebabkan Emily
sengsara dan menyesal atas tindakannya. Dora pula merupakan cinta pandang
pertama David apabila dia mula dewasa.
David tertarik apabila saat pertama kali terlihat Dora. Namun Dora dalam novel
ini digambarkan sebagai seorang yang tidak matang, keanak-anakan dan tidak
cekap dalam menguruskan rumah tangga setelah berkahwin dengan David. Namun David
tetap sabar melayani ketidakmatangan isterinya kerana kasihan kepada Dora yang
telah kehilangan tempat bergantung setelah kematian ayahnya . Dialah suami dan
dialah juga ayah kepada dora. Pertemuan David dengan Agnes pula berlansung
secara tidak sengaja apabila David belajar
di sekolah Dr strong. Agnes dilihat sebagai seorang gadis yang bijak, matang
dan sabar. Namun, David lansung tidak
tertarik padanya pada awal pertemuan mereka. David hanya menganggapnya sebagai
adik sedangkan Agnes sudah mula menyukai
David namun memendam perasaanya kerana mengetahui David menyukai Dora. Selepas
beberapa tahun kematian Dora barulah David menyedari perasaannya kepada Agnes dan
melamar Agnes untuk berkahwin dengannya. Agnes banyak memberikan semangat kepada
David untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Berbeza dengan Dora, Agnes cekap dalam menguruskan
rumah tangga menyebabkan David berasa bahagia hidup berumahtangga dimana
dia tidak pernah merasainya ketika berkahwin dengan Dora.
Tidak
lengkap rasanya di dalam sesebuah cerita itu seandainya tidak ada watak
antagonis di dalamnya. Di dalam novel ini juga terdapat beberapa watak
antagonis yang pastinya tidak disukai oleh pembaca. Antaranya ialah watak Mr
Murdstone yang muncul secara tiba-tiba dalam hidup David apabila dia mengahwini
ibu David, Mrs Clara. Perkahwinannya bersama ibu David turut membawa bersama
kakaknya, Mrs Murdston masuk dan tinggal ke dalam rumah David. Kakak ipar
ibunya itu gemar membuli David dan ibunya sesuka hati serta berlagak seperti
tuan rumah. Kehadiran mereka berdua masuk ke dalam rumah itu telah membuka
lembaran duka dalam hidup David sehinggakan ibunya sendiri yang sebelum ini
begitu menyayanginya sudah tidak mampu untuk mempertahankannya lagi dan sanggup
melihat David diperlakukan sesuka hati oleh kedua-dua beradik yang kejam itu.
Akibat tidak tahan dengan ayah tirinya yang kejam itu David telah bertindak
mengigit tangan ayah tirinya dan akibat dari perbuatannya dijadikan alasan
untuk Mr Murdstone menyingkirkannya dari rumah itu dengan menghantar David ke sekolah
berasrama di London, Salem House. Selepas
kematian ibunya, Mr Murdstone telah memaksa David untuk bekerja di kilang arak
tetapi David berjaya melepaskan diri dan membuat keputusan menentukan jalan
hidupnya sendiri bebas dari pengaruh ayah tirinya. Selain Mr Murdstone yang menjadi
watak hitam dalam novel ini seorang lagi watak antagonis dalam cerita ini ialah
watak Uriah Heep yang banyak membawa masalah kepada Agnes. Uriah
yang pada asalnya bekerja sebagai kerani di syarikat ayah Agnes, Mr Wickfield
ingin dikenali sebagai seorang yang rendah diri tetapi sebaliknya mempunyai
tipu muslihat untuk menjatuhkan Mr Wickfield dan merampas syarikat ayah Agnes.
Dia telah mengambil kesempatan ke atas kelemahan ayah Agnes yang kaki minum
sehingga mengugut ayah Agnes untuk melantiknya sebagai rakan kongsi di dalam
syarikat itu. Pada masa yang sama juga Uriah
mengugut untuk mengahwini Agnes dan kerana tidak mahu syarikat ayahnya musnah
dan reputasi ayahnya dijatuhkan oleh Uriah, Agnes sanggup bekorban dengan
mengahwini Uriah walaupun dia tidak mencintai lelaki itu. Namun setiap kelakuan
jahat itu pasti ada balasannya. Setelah
rahsia kejahatan Uriah terbongkar, dia akhirnya dimasukkan kedalam penjara.
Terdapat
pelbagai nilai dan pengajaran yang terdapat dalam novel ini yang boleh
dijadikan sebagai panduan dalam kita mengharungi kehidupan seharian kita. Yang
pertama ialah kesanggupan berkorban demi orang yang tersayang. Dalam kehidupan
kita pastinya tidak terlepas dari melakukan pengorbanan demi pengorbanan untuk melihat insan yang disayangi bahagia dan
gembira dalam hidup. Antara pengorbanan
yang dapat dilihat dalam novel ini ialah pengorbanan Pegotty kepada David yang
sanggup menyerahkan wang yang dimilikinya kepada David walaupun dia sendiri
hidup susah semata-mata untuk membantu David
menemui nenek saudaranya dan memulakan hidup baru. Pengorbanan seterusnya yang
dapat dilihat dalam novel ini ialah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Mr Pegotty
kepaada anak angkatnya yang disayangi, Emily dengan sanggup berkelana jauh mencari
dan menyelamatkan Emily dari menjadi mangsa kejahatan Steerfoth. Begitu juga
dengan pengorbanan Agnes yang sanggup bekorban perasaan sayangnya kepada David demi melihat David
bahagia bersama pilihan hatinya, Dora. Dia kemudiannya terus melakukan
pengorbanan dalam hidupnya dengan sanggup mengahwini Uriah demi menyelamatkan perniagaan ayahnya dari
dimusnahkan oleh Uriah.
Nilai kedua yang dapat dipelajari dalam novel
ini ialah pentingnya sebuah pendidikan yang sempurna untuk menjamin masa depan
yang gemilang. Ilmu sangat penting dalam hidup kerana hanya dengan
ilmulah kita dapat mengubah taraf hidup kita menjadi manusia yang lebih baik
dan dihormati oleh masyarakat. Kesediaan
Miss Betsey menghantar David ke sekolah
yang terbaik di London telah membuka ruang kepada David untuk mengejar cita-citanya
yang ingin berjaya dalam hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan.
Nilai
yang seterusnya yang terdapat dalam novel ini ialah nilai ketabahan dalam megharungi
dugaan hidup. Setiap insan yang bergelar
manusia pasti tidak terlepas dari
menerima ujian dan dugaan dalam hidup. Setiap dugaan yang datang itu sebenarnya
merupakan satu proses yang dapat mematangkan diri dan menjadikan kita lebih
kuat dan cekal dalam hidup. Contoh yang
dapat dilihat dalam novel ini ialah ketabahan
Mrs Clara membesarkan David sendirian
setelah kematian suaminya dalam usia yang muda. Walaupun dilihat lemah, mudah
berputus asa dan tidak bersemangat namun jauh di sudut hatinya tersimpan
kekuatan dalaman. Dia tabah mengharungi saat-saat membesarkan David sendirian
dalam hidupnya dengan bantuan Pegotty. Sehinggalah setelah dia berkahwin dengan
Mr Murdstone ketabahannya terus teruji apabila sering dimarahi dan dibuli oleh
suaminya dan kakak iparnya yang kejam. Ketabahan David juga paling menonjol dalam
cerita ini dari saat dia didera dan dibuli oleh ayah tirinya dan kemudiaanya
terpaksa menerima hakikat kematian ibu tercinta yang menyebabkan dia menjadi anak
yatim piatu dalam usia yang masih muda. Selain itu, David juga tabah meneruskan
perjalanan hidupnya sehinggalah dia menemui nenek saudaranya, Miss Betsey yang
kemudiannya dengan penuh kasih sayang sudi memeliharanya. Selain itu dapat juga
dilihat ketabahan Tommy Traddles , Emily dan Ham yang membesar sebagai anak
yatim piatu di dalam novel ini.
Ketabahan Agnes yang berdepan dengan
sikap ayahnya yang terlalu bergantung kepadanya dan sikap Uriah yang
menjengkelkan turut dipaparkan dalam novel ini.
Kesimpulannya, novel ini berakhir dengan pengakhiran yang
cukup mengembirakan setelah watak utamanya David Copperfield mengharungi
pelbagai dugaan dan onak duri dalam mengapai cita-citanya menjadi seorang penulis
yang berjaya dan menemui kebahagiaan dalam hidup. Secara keseluruhannya aku memandang karya
Charles Dickin ini sebagai sebuah karya yang baik dan banyak memberi
inspirasi kepada pembaca. Novel ini
banyak memaparkan realiti kehidupan
sebenar masyarakat dan adalah satu pengalaman yang indah membacanya :)