Untuk kalian

Posted by Unknown at 9:45 PG

Ada sesuatu hal yang tidak mampu kita luahkan secara berdepan. Semoga masih belum terlambat untuk aku mengucapkan terima kasih kepada insan-insan disekeliling yang banyak memberi sokongan dan dorongan  kepada diri ini. Tanpa kalian aku tidak akan sekuat dan segembira ini. Semoga Allah sentiasa menjaga dan melindungi kalian seperti mana Dia sentiasa menjaga dan  melindungi diri ini. 

untuk arwah abah yang penyayang
Terima kasih abah atas segala kasih sayang dan pengorbanan yang pernah dicurahkan. Terima kasih Tuhan kerana pernah meminjamkan seorang ayah yang begitu mulia dan luhur kasih sayangnya walaupun hanya untuk sementara. Kenangan membesar bersama abah adalah kenangan yang paling terindah dalam hidup ini. Bila kita tidak lagi bertemu di alam yang nyata, biarlah doa menjadi penghubung ikatan yang terbaik buat kita. Semoga kita dipertemukan kembali di alam sana. 

Untuk ma yang banyak berkorban
Terima kasih ma, insan yang paling banyak berkorban untuk kebahagiaan dan kesenanganku selama ini. Ya Allah, panjangkan usia ibuku semoga diri ini masih sempat menabur bakti kepadanya. Maaf diatas segala keterlanjuran kata-kata, sikap tidak peduli dan tidak tahu menghargai seorang anak selama ini. Tiada kasih yang abadi melainkan kasih sejati seorang ibu. Moga syurgalah buatmu ibu .

Untuk abang-abangku yang selalu melindungi
Terima kasih  untuk abang-abangku kerana menjadi pengganti arwah abah, sentiasa menjaga dan melindungi diri ini . Selalu mengambil berat dan selalu menegur diri ini. 

Untuk kakak-kakakku  yang penuh pengertian
Terima kasih juga untuk kakak-kakakku yang banyak menabur jasa dan berkorban demi kebahagian adik-adik. Bertabahlah kakakku dalam mengharungi ujian hidup yang tidak pernah surut ini kerana Allah tidak akan menguji dirimu melainkan Allah tahu engkau cukup kuat untuk menghadapinya. Percayalah disebalik kepahitan pasti ada kemanisan yang tersembunyi. 

Untuk adik-adik yang selalu menceriakan
Terima kasih untuk adik-adik tersayang yang selalu membuatkan hidup ini ceria. Teman bergaduh dan bergurau yang tebaik. Kita banyak berkongsi cerita, harapan dan impian bersama. Semoga kalian berjaya dan bahagia dalam hidup.

Untuk abang-abang ipar dan kakak ipar yang baik hati
Walaupun kita bukan dari daging yang sama tapi kita punya ikatan kekeluargaan yang erat. Terima kasih kerana memberikan layanan baik seorang abang dan seorang kakak sehinggakan terasa kita bagaikan  satu keluarga yang sudah cukup  lama mengenali. 

Untuk anak-anak  buah yang selalu menghiburkan
Untuk anak-anak saudaraku yang comel yang selalu menghiburkan hati  yang lara ini dengan keletah dan ragam kalian yang nakal. Kalian adalah insan yang paling dirindukan bila berjauhan. Semoga membesar menjadi putera dan puteri yang berguna kepada keluarga, bangsa dan agama.

Untuk dia yang sentiasa memahami 
Tanpa perlu bertentang mata, hati terasa dekat selalu. Terima kasih  kerana selalu menjadi kaunselor saya, memberikan semangat dan keyakinan pada diri ini setiap kali saya hampir-hampir berputus asa. Terima kasih kerana telah menceriakan hari-hari saya. 

Untuk teman-teman yang selalu menggembirakan
khas untuk teman-teman seperjuangan di Sk Kalai, Smk Batu Melintang , Smk Ayer Lanas, Ukm,  dan tidak lupa juga rakan-rakan seperjuangan di PLKN Batu Jong. Pelbagai kenangan yang telah kita lakarkan bersama diwarnai dengan gurauan dan usikan, dihiasi dengan gelak tawa dan senyuman. 
Terima kasih kalian  kerana telah membawa warna-warna pelangi dalam hidup ini.

untuk saudara mara yang prihatin 
untuk sedara mara yang dekat dan jauh yang selalu ada  dan memberikan pertolongan bila memerlukan, terima kasih.

 Untuk guru dan pensyarah yang banyak berkongsi ilmu dan pengalaman
Terima kasih untuk guru-guru dan pensyarah yang tidak pernah lokek berkongsi ilmu dan pengalaman.  Halalkan segala ilmu yang pernah diberikan . Semoga ilmu yang pernah dipelajari mampu dimanfaatkan suatu hari nanti. 

Untuk kalian yang pernah melukakan hati ini
Disebalik kepahitan yang pernah kalian berikan aku temui kemanisan dipenghujungnya. Terima kasih  kalian kerana telah memberikan hati baru pada diri ini. Hati yang kini lebih kuat, tabah dan cekal dari sebelumnya. Selamat berbahagia kalian .


 

Cerita Hati ^_* Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei